Iklan Sponsor

Iklan

Iklan Sponsor

Iklan

terkini

Perkembangan Kemasyarakatan dan Kebangsaan (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia)

arung sejarah
, 10:00 WIB Last Updated 2024-05-15T16:39:52Z
Perkembangan Kemasyarakatan dan Kebangsaan (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia), Orang Bugis di Pontian, Johor, Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia), Perantau dan Peneroka: Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia,

ARUNGSEJARAH.COM - Perkembangan Kemasyarakatan dan Kebangsaan (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia).

 

SUATU hal yang lazim di kawasan perkampungan baru suku-suku Melayu dari Kepulauan tanah seberang ialah pada peringkat awalnya memang kehidupan mereka seboleh mungkin untuk mengekalkan cara hidup asalnya. Antara yang paling nyata ialah dari sudut bahasa, budaya, tradisi, nilai hidup dan sistem kepercayaannya. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana antara yang datang berhijrah adalah terdiri dari golongan dewasa dan berumur. Tentunya kesedaran tentang tradisi asli mereka perlu di pertahankan. Tambahan pula dengan pentadbiran perkampungan yang khas untuk warga Bugis, maka rasa setiakawan dan sedarah sedaging adalah sentiasa dalam ingatan para peneroka.

Generasi awal dan peringkat kedua sebolehnya cuba untuk mengekalkan budaya dan tradisi aslinya. Orang Wajo’dan Bone sangat megah dengan tradisi mereka. Selain dari penggunaan dailek lokal Wajo’ dan Bone, cara berpakaian juga seboleh mungkin untuk dikekalkan dalam bentuk yang asal. Oleh itu di sekitar daerah Pontian dan daerah lain di Johor amat terkenal nama sejenis kain yang dikenali sebagai kain-Bugis. Salah seorang tokoh tempatan Pontian yang dihormati ialah Ambok Tuo. Beliau sangat peka dan prihatin terhadap identiti Bugis. Segalanya yang berciri Bugis perlu dikekalkan. Dari satu sudut, tokoh ini dapat dianggap sebagai melambangkan kekuatan siri’ Bugis yang cuba dibina kembali dan perlu dipertahankan. Namun dalam kes tertentu terdapat juga usaha mempertahankan budaya dan tradisi asli mereka yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana petempatan mereka bercampur dengan suku Melayu dan Jawa. Misalnya di Kampung Jeram Batu, Pekan Nenas, Orang Bugis di kampung tersebut terpaksa menggunakan bahasa Melayu lokal di kalangan mereka sendiri dan juga antara kumpulan suku yang ada di kampung tersebut (kenyataan dari Daing Abdul Wahab, anak bekas Penghulu Jeram Batu, Pekan Nenas).

Masyarakat Bugis Pontian umumnya sangat kuat mempertahankan tradisi, budaya dan anutan Islamnya. Kebanyakan penduduk juga memiliki naskhah Tuhfat al-Nafis. Malahan ada antaranya yang menyimpan kitab Sure Galigo’ yang menjadi pedoman kehidupan orang Bugis. Dokumen ini sebenarnya adalah rekod pentadbiran kerajaan Bugis di Sulawesi yang mengandungi banyak perkara. Antara lain seperti Undang-undang dan peraturan, keputusan pemimpin adat, salasilah raja, cerita-cerita epik, dongeng, maklumat tentang bermacam jenis ilmu pengetahuan, syair, nyanyian, teka-teki dan lain-lain. (Koentjaraningrat, 1971: 261-262).

Seorang tokoh masyarakat lokal Pontian, iaitu Haji Ambok Masek, seorang guru, telah berusaha menyusun sebuah buku yang berjudul `Kursus Belajar Tulisan Bugis’. Walaupun tidak bercetak, tetapi berjaya ditulis dan disiapkan pada tahun 1976. Beliau juga berusaha mengadakan kelas-kelas khas di kampung untuk anak-anak muda. Namun persaingan dengan sistem pendidikan kebangsaan menyebabkan ia menjadi cabaran yang kuat terhadap usaha beliau.

Rumah orang Bugis Pontian masih mempunyai ciri yang sama dengan rumah Bugis di Sulawesi. Misalnya dari segi kompatman, letak tiang seri, tangga dan batasan tamu yang berasaskan kepada kapolo (keluarga) dan to Laing (orang lain). (Errington, 1981: 36). Oleh kerana kebanyakan pekebun Bugis aktif dalam pertanian kelapa, koko, buah-buahan bukan padi, maka keadaan ini turut mempengaruhi ruang pembinaan rumah mereka yang mana kompatman untuk menyimpan padi (rakeang) tidak diadakan, hanya ruang untuk menyimpan alat-alat pertanian (awasao) sahaja yang disediakan di bahagian bawah. Sehingga tahun 1940an, rumah kampung Bugis sebolehnya masih cuba mengekalkan ciri-ciri rumah Bugis, sekurang-kurang bentuk bumbung dan ukiran-ukiran pada rabong dan cucur atap yang diperbuat dari kayu berukir. Begitu juga dengan adanya faktor hubungan sosial yang rapat antara keturunan bangsawan dan rakyat biasa, menyebabkan bentuk rumah Bugis di Pontian turut berubah. Pada tahap awal penerokaan ada rumah yang dibina berbeza bentuknya antara yang dimiliki dan keturunan bangsawan dan rakyat tetapi lama kelamaan ciri-ciri ini semakin hilang apabila trend bina rumah bentuk Melayu dan rumah batu mula mendapat perhatian.

Dari segi berpakaian didapati orang Bugis cuba mengekalkan identitinya yang tersendiri. Jenis kain Bugis memang cukup terkenal di kalangan orang Johor. Pakaian tradisional ini lazimnya dipakai pada masa hari perayaan dan keramaian seperti majlis perkahwinan. Ini dapat diperagakan bukan sahaja pada pakaian pengantin, malahan pada para jemputan. Selain dari pakaian istimewa, mereka juga memiliki perhiasan khas. Misalnya untuk kaum lelaki, terutamanya di kalangan pemimpin masyarakat akan diselitkan kris panjang atau pendek. Seorang bekas Penghulu pertama Pengkalan Raja, Pontian iaitu Hj. Dahlan menyimpan kris panjang yang bernama Tappik dan kris pendek bernama La gonchong yang diwarisi dari keluarganya di Sulawesi. Beliau lahir di Sulawesi pada tahun 1906 dan datang ke Pontian melalui Singapura pada tahun 1922 dan dilantik jadi penghulu Pengkalan Raja pada tahun 1922.

Dari sudut hubungan kekeluargaan Bugis di Pontian adalah sangat rapat. Perkahwinan antara sepupu adalah sangat lumrah. Adat dan peraturan untuk membina keluarga dan proses merisek (mappuce-puce), bertunang, hantar belanja (mappaenre balanja), hingalah kepada majlis persandingan (perkahwinan) adalah mengikut tradisi Bugis. Urusan mengadakan majlis biasanya diadakan secara gotong-royong di kalangan sanak saudara, keluarga dan orang kampung. Antara upacara khas dalam majlis perkahwinan ialah acara kejar mengejar antara pengantin lelaki dan perempuan, mengenalpasti pengantin perempuan dari barisan gadis-gadis  kampung yang dipakaikan sama seperti pengantin dan adat menukar nama, iaitu Pengantin lelaki akan menukar nama mereka dari nama asal, misalnya Ahmad kepada nama Bugis, Daeng Menisah yang berdasarkan kepada keturunan orang yang terlibat. Pertukaran nama ini hanyalah untuk menunjukkan antara pengiktirafan dari segi sosial bahawa lelaki berkenaan sudah berumah tangga. Upacara ini dilakukan oleh orang tua-tua yang memegang kuat adat Bugis. Adat lain dalam keluarga yang diamalkan oleh masyarakat ialah seperti adat naik buai, jejak tanah (turun tanah) dan potong jambul.

Stratifikasi sosial Bugis di Pontian pada peringkat awal kedatangan mereka adalah terbahagi kepada dua, iaitu mereka yang dari keturunan bangsawan yang berasal dari golongan Anakarung seperti Karaenta, Putta, Andi’ dan daing dan yang berasal dari keturunan orang biasa yang dipanggil To Maradeka Tu-Mara-deki (Koentjuraningrat; 269). Sebahagian kecil dari generasi golongan ini masih terdapat di Ayer Baloi, Tampok dan Benut. Ada antara dari golongan ini yang masih status councious, manakala sebahagian yang lain sudah tidak lagi menghiraukan keturunannya. Ini dapat dilihat dari bentuk layanan yang mereka terima dalam majlis atau upacara tertentu di kampung.

Salah satu aspek yang menarik dalam kehidupan sosial orang Bugis Pontian ialah kesedaran mereka dari sudut pendidikan. Seorang tokoh agama dan pendidik lokal yang terkenal ialah Ambok Olah yang datang dari Sulawesi Selatan pada tahun 1920an yang menjadi guru dalam pendidikan Islam. Beliaulah yang mengusahakan pembinaan awal masjid di Benut. Beliau juga turut mengajar bahasa Arab. Sepeninggalannya ke Sulawesi semula, tugas mendidik di kampung telah diserahkan kepada anak muridnya yang ada antaranya menjadi imam dan juga guru-guru agama.

Dalam dekad yang sama juga sebuah madrasah yang bernama Tu Tarbiah To Islamiah al-Bugisia telah dibangunkan oleh Haji Mustafa bin Daing Magelang. Madrasah ini kemudian dikenali dengan nama Sekolah Arab Tampok yang diasaskan pula oleh Haji Mohamad Tahir. Selepas kematian beliau, sekolah ini ditadbirkan pula oleh Cikgu Jaafar sehingga tahun 1980an. Antara mata pelajaran yang diajar ialah seperti Tafsir Quran, Tajwid, Muamalat, Tauhid, munakahat dan tulisan Jawi. Oleh kerana tenga pengajarnya didatangkan dari Arab, maka bahasa pengantar sekolah ini ialah bahasa Arab. Kebanyakan murid dari sekolah ini kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Kluang, Ma’ahad Johor, Kolej Islam (Klang), Universiti Al-Azhar dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sekolah Arab ini masih kekal hingga hari ini. Pada masa ini hampir 50 peratus tenaga pengajarnya adalah dari kalangan orang tempatan Benut dan Tampok.

Mulai tahun 1951, sebuah bangunan sekolah rendah telah didirikan atas usaha gotong-royong penduduk kampung yang sangat kuat semangat memiliki ilmu pengetahuan untuk generasi akan datang. Sekolah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Sri Bugis ini diresmikan pada 1.10. 1951 yang terletak di Parit Daing Pelawa, Benut. Menurut maklumat dari Buku yang ditulis oleh Ambok Masek bin Abdul Latif, Kenangan 10 tahun Sekolah Seri Bugis, Pejabat Pelajaran Batu Pahat, Johor, 1961, halaman 14, merekodkan bahawa sekolah ini telah didirikan atas usaha dari beberapa orang tokoh masyarakat lokal seperti Banusi bin Hj. Ahmad, Hj. Daing Pawinro bin Daing Matara (penderma tapak bangunan), Hj. Abdul Ghani bin Safar, Hj. Mohd. Tahir bin Daing Mangati, Hj. Malbik bin Andik Emas, Hj. Nurlildin bin Hitam, Hj. Sengkah bin Hj. Daing Melewah, Hj. Pelamit bin Hj. Melewah, Hj. Minung bin Hj. Sempoh dan Hj. Walang bin Hj. Daing Menanggah. Sambutan masyarakat lokal terhadap sekolah ini sangat menggalakkan. Antara tahun 1951, hingga 1961 rekod sekolah mendapati peningkatan jumlah pelajar yang mendaftar dari 47 orang menjadi 144 orang dan bilangan gurunya bermula dari satu orang menjadi 7 orang yang mengajar dari darjah satu hingga darjah 6. (Ambok Masek: 12). Ramai pelajar keluaran sekolah ini dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi  di dalam dan di luar negara. Selain dari sekolah ini, di kawasan Serkat terdapat satu tokoh agama yang aktif bernama Ambok Tang yang berpusat di Sungai Kulai.

Berdasarkan kepada maklumat di atas menunjukkan bagaimana tingginya kesedaran masyarakat Bugis Pontian khasnya dalam bidang pendidikan. Rasa kesedaran inilah yang membolehkan masyarakat Bugis di sini mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan mempunyai daya kreativiti untuk membina dan membangunkan masyarakat. Budaya gotong royong melalui aktiviti sosial telah menjadikan solidariti sosial masyarakat ini begitu erat dan kuat sehingga akhirnya pembinaan siri di kalangan generasi kedua dan seterusnya dapat diserlahkan.

Dari segi kesedaran kebangsaan, orang Bugis di Semenanjong Malaya adalah antara suku bangsa Melayu yang aktif. Suasana politik dan penjajahan di Malaya dan Indonesia pada ketika zaman sebelum perang dunia kedua memang mempengaruhi masyarakat Bugis sebagai salah satu dari suku rumpun Melayu yang sedang dilanda dengan perkembangan kesedaran kebangsaan. Faktor pengaruh perkembangan politik dan nasionalisme di Indonesia dan tempat lain memang cukup dirasai oleh penduduk  Semenanjung.

Kedudukan Singapura yang berdekatan dengan Johor merupakan penggerak kepada kegiatan peringkat lokal di Johor. Kebanyakan tokoh masyarakat Bugis di Singapura mempunyai pertalian keluarga di Pontian. Tambahan pula perasaan anti-kolonial di kalangan orang Bugis memang tidak mungkin luntur sehingga mereka dapat mengembalikan siri’nya. Di Singapura telah muncul bermacam kelab atas pertubuhan tertentu. Antara kelab yang aktif adalah yang didirikan oleh orang Melayu berketurunan Arab dan India. Misalnya kelab  yang bernama Persekutuan Dar-ul-adab dan Persatuan Dar-ul Ta’adzim (Roff, 1975: 232). Menurut akhbar Bintang Timor, bertarikh 10 Ogos 1894, yang mencatatkan nama ahli jawatankuasa persatuan didapati salah seorang daripadanya ialah Daing Basu. Kegiatan utama kelab ini ialah untuk memperjuangkan kebajikan dan meniup kesedaran kebangsaan Melayu di Singapura. Daing Basu juga difahamkan mempunyai banyak sanak saudara di Pontian dan kawasan lain di Johor. Faktor ini tentunya  memberi perangsang kepada kegiatan persatuan tersebut untuk lebih aktif.

Dengan tertubuhnya Kesatuan Melayu Singapura pada tahun 1926 yang dipelopori oleh Mohd. Eunos Abdullah, Embok Suluh dan Tengku Abdul Kadir, sokongan dari orang Melayu tempatan sangat menggalakkan. Malahan di kalangan orang Bugis Pontian  juga turut berminat. Misalnya tokoh tokoh lokal Pontian seperti Hj. Dahlan, Daing Ismail, Ambok Tuo, Ambok Chokoh, Abdul Wahab dan Ambok Mohamed yang turut menjadi ahli dan aktif dalam cawangan Kesatuan Melayu Singapura di Kampong Melayu Rochore, Singapura (Uthman; 1938: 5). Ambok Tuo kemudiannya merupakan salah seorang yang menjadi orang kanan Dato’ Onn di peringkat lokal dalam Parti Negara, terutama di kawasan Benut dalam pilihanraya tahun 1955 dan 1959. Manakala Ambok Chokoh pula adalah sangat aktif di kawasan Serkat. Sementara itu Ambok Suluh memang sangat aktif di Pontian. Oleh kerana sanak saudaranya  ramai di sini, beliau turut mengambil kesempatan berkempen dari rumah ke rumah di Benut untuk mendapat sokongan dari masyarakat tempatan. Dalam tahun 1930an pula iaitu pada zaman kegiatan Kesatuan Melayu Muda yang sangat kuat mendapat sokongan golongan guru, membolehkan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim ramai yang menyokong gerakan ini. Di Pontian terdapat seorang guru iaitu Cikgu Arshad bin Menawi yang turut aktif dalam gerakan ini melalui Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung, cawangan Pontian. Pada zaman Jepun, gerakan anti-Jepun dan kemudian anti-komunis juga mempengaruhi orang Bugis tempatan untuk serta dalam gerakan yang berkepentingan memertabatkan bangsa Melayu. Selepas perang, walaupun dalam rekod British terdapat adanya maklumat tentang nama-nama Bugis dalam organisasi komunis, tetapi ini tidak dapat mewakili keseluruhan masyarakat. Pada umumnya pegangan Islam orang Bugis adalah sangat kuat di samping kesedaran nasional, khususnya terhadap kepentingan bangsa Melayu. Oleh itu komitmen mereka terhadap kegiatan berparti pada zaman 1950an dan 1960an adalah memihak kepada yang ada kepentingan Islam. Sebahagian dari pemimpin masyarakat Pontian menyokong Parti Negara, sebahagiannya PAS dan sebahagian lagi adalah dalam UMNO. Ketiga-tiga parti ini memang membawa manifesto yang ada unsur Islam, kemasyarakatan dan kepentingan bangsa Melayu yang sesuai dengan kefahaman siri’ Bugis. Namun dari sudut politik yang nyata ialah bahawa orang Bugis Pontian dan tempat-tempat lain memang mempunyai kesedaran nasional yang cukup kuat. Dari matlamat membina diri, keluarga, masyarakat dan akhirnya bangsa dan negara. Semua ini tentunya dapat dirangkumkan kaitannya dengan pembentukan siri’ yang prihatin terhadai pesee’ habua atau pesse’.

Kesimpulan

Merantau dan sebagai perantau dalam kehidupan orang Bugis dan juga masyarakat Melayu dari suku lain adalah kegiatan yang berterusan tanpa mengenal batasan zaman dan kawasan. Yang penting ialah matlamat para perantau yang perlu menjayakan  cita-cita untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat. Faktor ini dalam masyarakat Bugis adalah sesuatu yang sine qua non. Sebagai perantau di tanah seberang, orang Bugis benar-benar menunjukkan kesungguhannya untuk membina, mengembalikan, memurnikan dan mempertahankan siri’nya. Ternyata bahawa segalanya telah berhasil apabila diambil beberapa episod dari sejarah Malaysia. Malahan maklumat dari daerah yang menjadi tumpuan orang Bugis di Johor, iaitu Pontian, cukup membanggakan. Mereka sangat aktif, bersikap positif, berdikari dan terus berjuang hingga akhirnya mencapai kejayaan sama ada sebagai petani, pendidik, aktivitis dan juga pemimpin. Walau apa pun aspek hidup yang ditangani, segalanya memang ada kaitannya sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan budaya siri’ dan esse’ babua atau pesse’.  Umpama ungkapan klasik Melayu `alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’ yang mencerminkan tentang bagaimana kesungguhan seorang atau kumpulan dalam usahanya untuk mencapai kejayaan hidup dimana sahaja mereka berada. Yang penting `usaha itu adalah tangga kejayaan’ dan `bersatu kita tegoh, bercerai kita roboh’. Sesungguhnya perjuangan bangsa Melayu untuk memertabatkan diri di peringkat dunia masih belum selesai.

Sebelumnya....  Orang Bugis di Pontian, Johor

Khazin Mohd. Tamrin Pusat Pengajian Sejarah, Politik & Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, disampaikan pada acara Festival dan Seminar Internasional La Galigo di Masamba, Sulawesi Selatan, 10-14 Desember 2003.

Komentar
Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE. #JernihBerkomentar
  • Perkembangan Kemasyarakatan dan Kebangsaan (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia)

Terkini

Iklan

Close x