ARUNGSEJARAH.COM - Perantau dan Peneroka: Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia.
Mukadimah
PEMILIHAN judul kertas kerja ini adalah dirasakan sangat wajar memandangkan hakikat sejarah orang Bugis yang tercatat dalam sejarah Malaysia. Kajian tentang orang Bugis memang sudah lama diminati oleh para sarjana dari barat dan Timur termasuklah para cendikiawan lokal. Apa yang sesungguhnya menarik tentang orang Bugis-Makasar ini ialah tentang kegigihan, keberanian dan kepahlawanan mereka yang diakui oleh masyarakat antarabangsa sejak sebelum zaman kolonial di Asia. Mereka sesungguhnya mempunyai semangat yang kental, berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran demi menegakkan harga dan martabat diri. Sikap inilah yang sebenarnya menjadi asas kepada penanaman patriotisme mereka sebagai sebahagian dari rumpun bangsa Melayu.
Budaya siri telah dikenal pasti sebagai suatu yang
menjadi perangsang dan pendorong orang Bugis untuk mempertingkatkan diri,
memajukan keluarga dan membina tamadun masyarakat sehingga mereka dapat
bersaing dengan suku-suku Melayu lain dan juga bangsa lain di dunia. Faktor siri
yang memberi motivasi kepada kehidupan orang Bugis sesungguhnya mempunyai
ciri-ciri yang positif dan dinamik. Dinamika inilah yang menyebabkan ramai
individu dan kumpulan Bugis terlibat aktif dalam kegiatan merantau.
Perantau dan Perantauan Bugis
Tradisi merantau di kalangan rumpun Melayu memang mempunyai pengertian, keperluan dan kepentingan yang cukup besar dalam kehidupan mereka. Pada umumnya kegiatan ini adalah lazimnya mendatangkan faedah yang cukup besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan bangsa. Berpandukan kepada ungkapan klasik Melayu, `jauh perjalanan luas pemandangan’ kerana `lain padang lain belalang’ dan `lain lubuk lain ikannya’. Begitu juga bak kata pujangga bahawa, `hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’, yang mempunyai makna agar kita perlu peka terhadap perkembangan dan kemajuan di negara lain yang boleh kita lawat dan lihat agar dapat memberi ilham untuk memperbaiki diri, keluarga, masyarakat dan bangsa. Oleh sebab itulah dalam masyarakat Melayu ada peribahasa yang bersifat sendirian yang mendesak agar kita jangan jadi `seperti katak di bawah tempurung’.
Begitu juga dengan kesan dari cara hidup Islam yang banyak membawa perubahan dalam kehidupan orang Melayu Nusantara. Konsep sejahtera, ikhtiar dan toleransi dalam Islam benar-benar tersemat dalam jiwa dan minda bangsa Melayu. Sementelahan pula dari sudut budaya ikhtiar, tentunya menjadikan merantau itu adalah menjadi sebahagian dan cara manusia Melayu untuk mencari jalan mengubah cara hidup mereka sama ada dari aspek ekonomi maupun sosial.
Konsep merantau Melayu itu sebenarnya cukup luas cakupannya. Malahan bermacam istilah seperti mengembara, berkelana, berdagang, berhijrah, berjalan, bertualang, minggat dan sebagainya. Ini belum lagi istilah-istilah yang ada pada bahasa lokal seperti di kalangan orang Bugis, Jawa, Bajau, Aceh, Iban dan lainnya. Ini bermakna bahawa merantau itu sudah membudaya dalam masyarakat rumpun Melayu Nusantara yang sesuai dengan cara hidupnya yang bergantung kepada tanah dan air, yakni bercucuk tanam dan berdagang. Oleh sebab itu patriotisme mereka juga biasanya dikaitkan dengan cintakan tanah air.
Kegiatan merantau yang sudah menjiwai kehidupan orang Melayu Nusantara juga turut diperkuatkan dengan sistem pentadbiran kerajaan dan negeri-negeri di sekitar Kepulauan Melayu. Malaysia misalnya, sebelum kedatangan British, di kebanyakan negeri-negeri Melayu ada suatu jawatan yang dinamakan Dato’ Dagang yang setaraf dengan Penghulu di kampung. Malahan di negeri tertentu jawatan ini pernah disifatkan sebagai Minister of immigrants seperti yang pernah disandang oleh seorang pedagang Inggeris, John Smith semasa beliau berada di negeri Patani pada awal abad ketujuh belas (Hale, 1909: 178 ). Tugas utama Dato’ Dagang adalah untuk menggalakkan kedatangan orang dagang (perantau dan peneroka) dan kaum pedagang (peniaga). Dari sini kadang-kadang kita boleh keliru kerana istilah orang dagang boleh memberi pengertian yang berbeza. Pada satu pihak ia boleh bererti merujuk kepada orang baru di sesebuah kawasan dan pada satu pihak lain, ia menunjukkan kaum pedagang, iaitu orang yang datang bertujuan untuk berniaga.
Berdasarkan kepada jawatan yang diwujudkan oleh pemerintah tradisional ini menunjukkan bahawa sebenarnya setiap negeri Melayu memang menggalakkan kedatangan perantau dan pedagang. Kerana kekuatan dan kemakmuran sesebuah negeri adalah bergantung kepada ramainya rakyat atau penyokong yang boleh membantu dari segi pembangunan ekonomi. Sebab itu konsep sempadan negeri Melayu juga tidak begitu jelas. Rakyat dari negeri lain atau orang dari tanah seberang adalah bebas bergerak keluar masuk. Dasar ini kelihatannya adalah selaras di kalangan negeri-negeri Melayu pada zaman sebelum kolonial yang mula memperkenalkan sistem sekatan dan pemeriksaan.
Berdasarkan kepada faktor pentadbiran, geografi, persamaan budaya, tradisi, agama dan bahasa maka rumpun Melayu di Nusantara adalah bebas berulang alik, datang dan pergi, keluar masuk di pelbagai negeri dan pelabuhan demi keperluan ekonomi dan lain-lain. Sementara itu faktor hubungan diplomatik antara negeri-negeri Melayu juga dijalin dengan cukup teratur, malahan hubungan perkahwinan antara keluarga raja dan bangsawan di kalangan beberapa negeri antara tanah seberang juga sentiasa berlaku. Begitu juga dengan ikatan perjanjian saling bantu membantu antara kerajaan memang biasa berlaku.
Atas faktor-faktor inilah didapati di kalangan orang Bugis cukup berpengalaman luas selama beberapa generasi dalam kegiatan merantau dan berdagang. Tambahan pula mereka memiliki teknologi membuat perahu dan kapal yang cukup canggih yang digunakan untuk tujuan belayar dan berniaga sehingga di luar perairan Nusantara. Dengan memetik kenyataan Francis Light, pada tahun 1794, bahawa `mereka adalah saudagar-saudagar yang terbaik di kepulauan timur … nilai kargo mereka yang begitu tinggi menyebabkan ketibaan mereka sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua kaum peniaga’. (SSR34/6, Light to Store, 23.1.1794 (PWCP 1/8/1794) fols. 128-30, dipetik oleh Andaya; 1982: 92, 303). Petikan kenyataan ini menunjukkan peri pentingnya peranan Bugis yang boleh membawa kejayaan pada sesebuah pelabuhan.
Kecekapan dan kemampuan orang Bugis dalam bidang pelayaran memang diakui oleh orang Eropa sekurang-kurangnya sejak abad 16, khasnya dari kalangan orang Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, Peranchis dan sebagainya. Dari keistimewaan ciri-ciri hidup yang berpandukan kepada siri, di samping maklumat-maklumat terperinci tentang kehidupan harian masyarakat yang direkodkan oleh tradisi Lontara’, maka tidak hairanlah sekiranya ramai orang Eropa yang mengkagumi kegemilangan peradaban dan tamadun Bugis. Malahan sehingga sekarang tokoh sarjana Amerika seperti Prof. Andaya, Peranchis Dr Pelras dan lain-lain sarjana, termasuk di peringkat lokal seperti Prof. Andi Zainal Abidin masih merasa tidak puas untuk menyelidik tentang persepsi orang Bugis-Makasar terhadap kehidupan mereka di laut, dan di tanah seberang.
Dari kajian-kajian ilmiah oleh para sarjana, saya kira sekurang-kurangnya sudah boleh disimpulkan bahawa sesungguhnya orang Bugis Makasar memang mempunyai keperibadian yang cukup tinggi, terutama dalam usaha mereka untuk membina dan mempertahankan martabat mereka. Sesungguhnya darah merekalah juga yang banyak mengalir di mana-mana di Nusantara, termasuk Malaysia untuk mempertahankan bangsa dari penjajahan asing. Ini termasuklah saya percaya, antara yang mempertahankan Melaka dari Portugis adalah pahlawan-pahlawan yang berasal dari Bugis, kerana adalah difahamkan bahawa orang laut di Selat Melaka yang menjadi penyokong kuat Sultan Melaka, Johor dan Riau adalah dikatakan berasal dari Sulawesi.
Begitu juga dengan orang Melayu yang bersama dengan Magellan mengelilingi dunia, walaupun suku Melayunya masih belum nyata, tetapi kemungkinannya ia adalah orang Bugis. Tokoh ini yang digelar oleh Magellan sebagai Enrique atau dalam novel roman sejarah oleh Harun Aminurrashid sebagai Panglima Awang adalah orang yang berani dan handal dalam perlawanan pedang. Beliau juga ternyata boleh bertutur dalam bahasa lokal Filipina.
Sebahagian besar dari sejarah Malaysia pernah diredupkan oleh penulis-penulis barat sehingga seolah-olah sejarah Malaysia itu merupakan sejarah orang barat di Malaysia. Sehinggakan sehingga tahun 1960an, orang Melayu kelihatannya diperkecilkan dalam sejarah pembangunan kolonial. Dalam episod sejarah ini didapati peranan migran dari China dan India sangat menonjol. Malahan sehingga ada penulis Inggeris yang menganggap migran Cina itu sebagai tulang belakang dalam pembangunan kolonial Malaya. Peranan pribumi Melayu tampaknya terpinggir seperti juga kehidupannya yang dikekalkan sebagai petani sara diri di kampung.
Salah satu dari dasar Inggeris yang nyata di Semenanjung Tanah Melayu terhadap orang Melayu ialah merangkumkan semua suku-suku Melayu di tanah seberang sebagai bangsa Melayu. Pembangunan luar bandar (kampung) memand dikhususkan kepada orang Melayu yang dianggap mahir dalam bidang pertanian untuk boleh menjadi pembekal bahan makanan untuk penduduk bandar dan estet. Mereka diberi insentif untuk membolehkan mereka membua banyak kampung. Maka orang Melayu dari pelbagai daerah di kepulauan Melayu yang sekarang ini dikenali sebagai Indonesia, telah digalakkan untuk datang membuka `negeri’ (kebun dan kampung). Berdasarkan faktor ini juga yang merupakan salah satu dari faktor kedatangan orang Bugis ke Semenanjung. Namun dari sudut tradisi merantau, zaman kolonial bukanlah bermulanya zaman kedatangan orang Bugis ke Tanah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan kepada kajian-kajian sarjana barat dan lokal dan berpandukan kepada dokumen lontara’, menunjukkan bahawa orang Sulawesi Selatan, Bugis Makasar merantau di sekitar dunia Melayu memang sudah lama. Mereka bukan hanya berniaga, tetapi juga mengembara dan ada juga yang berhijrah (berpindah) untuk menetap kekal di tanah seberang seperti di Kalimantan, Sabah, Sarawak, Jawa, Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Malahan pada abad-abad 15 hingga 18, ramai orang Bugis, termasuk dari kalangan kaum bangsawan yang berhijrah ke seberang laut sehingga ke Kemboja, Thailand, Sri Lanka, Afrika Selatan dan Eropah (Peranchis).
Alasan untuk merantau memang bermacam-macam. Seperti yang dinyatakan oleh Andi Zainal Abidin `… tidak semua orang Bugis meninggalkan Sulawesi dengan maksud berdagang semata-mata. Sebahagian mungkin hendak bertualang [mengembara], sebahagian hendak mencari nafkah, sebahagian lagi memang untuk menetap di negeri lain kerana soal siri atau kesulitan lain’. (1983: 62). Beliau banyak memberi contoh-contoh terutama tokoh-tokoh bangsawan Bugis yang berhijrah dengan membawa pengikutnya ke kawasan lain. Antara pembesar istana yang melahirkan keturunan di tanah seberang ialah La Tatta, Ambarala anak `La Kasi’, Punggawa (Panglima besar) Bone dan La Terridolong To Lebae, Datu pamama. Keturunan La Tatta di Singapura ialah seorang tokoh pedagang yang terkenal iaitu Haji Nonci yang bapanya seorang Arab, Syarif Muhamad al-Habsyi.
Begitu juga dengan peranan anak-anak raja lima bersaudara yang cukup terkenal dalam sejarah Malaysia, seperti yang dikisahkan dalam Tuhfat al-Nafis oleh Raja Ali Haji dan dikaji secara ilmiah oleh Prof. Andaya, pada abad ke-18. Namun apa yang lebih penting di sini ialah orang Bugis yang berada di Malaysia, mereka bukan hanya setakat berdagang, tetapi juga turut berpartisipasi dalam pembangunan kolonial, khususnya sebagai membina petempatan baru terutamanya di Selangor dan Johor dan juga di Pahang.
Namun kedatangan kumpulan Bugis pada zaman kolonial abad 19, bukanlah satu fenomena baru, kerana perkembangan yang ada pada abad 19, hanyalah suatu kesinambungan yang berterusan dari aktiviti merantau yang tidak pernah putus walaupun Tanah Melayu terjajah, tetapi faktor itu tidak menghalang orang Bugis datang merantau untuk membuka kampung dan untuk menetap kekal. Ada di antara kalangan perantau ini sebenarnya yang sudah mempunyai saudara mara di Semenanjung yang datang lebih awal.
Begitu juga dengan sebahagian dari penduduk tempatan Johor dan Selangor, sebahagiannya adalah dari keturunan Bugis yang datang lebih awal, yakni pada abad-abad antara 16-18. Faktor-faktor seperti ketidakstabilan politik negeri Melayu kadang-kadang menyebabkan berlakunya perpindahan penduduk ke tempat lain yang lebih aman. Memang pada zaman kolonial Inggeris, faktor keamanan adalah menjadi antara faktor yang menyebabkan kedatangan ramai penduduk Melayu dari kepulauan di samping adanya peluang-peluang membuka kebun dan pekerjaan misalnya menurut pandangan seorang Dato’ Dagang yang berasal dari Batu Bara, Sumatra, iaitu Hj. Abdullah Hukum dalam wawancara akhbar Warta Ahad, 17 Oktober 1935, ada menyatakan bahawa,
“… Apakala aman tersiar di Kuala Lumpur, maka orang Melayu pun dari segala bangsa mula ramai mengambil tanah, membuka kebun dan membuat kampung … orang-orang mulai berladang di Setapak, Ulu Gombak, Batu, Pudu, Petaling dan lain-lain tempat sekeliling Kuala Lumpur”. (Abdullah Hukum, 1935: 7).
Begitu juga dengan faktor adanya petempatan awal Bugis ini sebenarnya menyebabkan, kedatangan perantau dan peneroka dan ke kawasan perantauan baru, misalnya di Selangor dan Johor, terus berjalan lancar. Malahan berasaskan kepada sumber Tuhfat al-Nafis ada menunjukkan perbezaan antara Bugis peranakan tempatan dan perantau (orang dagang) Bugis. Pada akhir abad 18, ditaksirkan ada kira-kira 40,000 orang Bugis menetap di sepanjang Sungai Riau yang terdiri dari darah murni dan campuran, lelaki wanita dan yang berstatus tinggi dan rendah (Tuhfat, 1982: 161).
Pada sepanjang akhir abad 17, beberapa buah petempatan Orang Bugis telah dibuka di pesisiran pantai barat Semenanjung khasnya Selangor, Linggi dan Kelang (Andaya, 1983: 82). Sementara itu dalam abad yang sama juga, akibat dari kedatangan Belanda yang menguasai pelabuhan Makasar pada tahun 1699 dikatakan sebagai titik tolak bermulanya gelombang penghijrahan keluar orang Bugis ke kawasan tanah seberang lain di Nusantara (Andi Zainal Abidin Farid, 1979: 8).
Namun lebih awal dari tarikh ini iaitu kira-kira dalam tahun 1660 dapat dikesan akan adanya sekumpulan perantau Bugis yang diketuai oleh Daeng Sa’elah datang dengan 27 buah perahu payar telah menuju ke Teluk Mas, Melaka melalui Temasik (Singapura) dan Limbongan Cermin iaitu sebuah kawasan pendalaman di Muar. Dalam masa yang sama rombongan ini dilaporkan turut dipanggil agar menetap di Ulu Langat oleh Daeng Hitam, pemimpin masyarakat Bugis di daerah tersebut, namun kerana ada halangan angin ribut, maka rombongan tersebut akhirnya menetap di Teluk Mas, Ketapang, Melaka (Kuchiba, Tsubosuchi & Maeda, 1979: 228).
Kegiatan merantau orang Bugis tetap berterusan pada abad ke-20 hinggalah hari ini. Pada tanggapan Prof Andi Zainal Abidin, bahawa yang lebih terserlah dalam mempengaruhi kegiatan pasompe Orang Bugis, terutama Wajo’ ialah kerana hasrat untuk memperbaiki kehidupan yang dilandasi oleh Siri’ Masiri’ di samping diperkuatkan oleh tradisi dengan stimulus the revolution of rising expectation sebagai akibat pembangunan satu kepercayaan, bahawa hanya dengan merantau orang dapat memperbiaki nasibnya. Sedangkan nasib yang perlu diperbaiki juga boleh saja merangkumi kaum keluarganya kerana dalam budaya siri mereka ada semacam ikatan yang erat dengan hubungan sistem kekerabatan melalui esse’ babua (Bugis) atau pesse’ (Makasar) yang merangsang wujudnya solidariti keluarga. Esse’ babua dan pesse’ bermakna perasaan sedih dalam jiwa melihat penderitaan keluarga atau tema sekampung sehingga menimbulkan rasa hiba yang sangat mendalam hingga mendorong mereka untuk membantu sehingga terpaksa untuk merantau. (Andi Zainal Abidin, 1983: 85).
Dalam pada itu kepada orang Bugis, menjadi passompe’ (perantau) boleh memberi status baru dalam masyarakatnya mereka juga akan dihormati kerana mempunyai pengetahuan, pengalaman dan rezeki dari tanah perantauan. Malahan hasil dari merantau juga membolehkan berlakunya perubahan tingkat status sosial seseorang (Soehartoko, 1981: 205). Ini bermakna bahawa menjadi passompe’ bukan sahaja sekadar memenuhi tuntutan kewajipan moral, tetapi perubahan akibat dari ikhtiar dan kegigihan di tanah rantau membolehkannya mereka mempertingkatkan diri pada tahap kedudukan sosial yang lebih baik (Lineton, 1975).
Oleh itu kesimpulannya di sini menunjukkan bahawa sehingga kini orang Bugis memang gemar merantau. Motif, alasan dan sebab merantau itu memang beranika ragam dan keadaan. Faktor ekonomi, sosial dan politik memang biasa memberi dorongan untuk mereka merantau, berhijrah atau lari dari negerinya ke tempat lain. Namun yang paling nyata ialah bahawa mereka merantau adalah untuk memperbaiki diri dan mempertahankan harga diri. Maka bermakna bahawa segala galanya adalah punya kaitan dengan siri’ yang sudah bertapak dalam kalbu orang Bugis selama beberapa generasi hingga kini.
Bersambung.... Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Orang Bugis di Semenanjung Malaysia)